Sunday, 12 March 2017

Strategi Membasmi Kemiskinan

       Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum merupakan matlamat utama DEB. Hal ini kerana pencetus dasar ini jelas disebabkan ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik.
[i]  Antara strategi membasmi kemiskinan yang dilaksanakan dalam DEB ialah memodenkan keadaan kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah sama ada di bandar atau di luar bandar dengan meningkatkan lagi penyediaan kemudahan-kemudahan asas dan juga yang bersabit dengan pendidikan seperti bantuan buku dan biasiswa.
[ii]   Keadaan masyarakat Malaysia sebelum DEB sangat berbeza-beza apatah lagi hanya masyarakat yang tinggal di bandar sahaja menikmati kemudahan-kemudahan asas seperti perubatan, pendidikan dan sebagainya manakala masyarakat di luar jauh ketinggalan. Dengan memodenkan keadaan kehidupan rakyat dengan menyediakan kemudahan asas iaitu pendidikan, perkhidmatan, perubatan, bekalan air dan bekalan elektrik[vi] sekaligus jurang kemiskinan dapat dikendurkan.
[iii]  Selain itu, kerajaan turut meluaskan lagi peluang-peluang pekerjaan bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum juga dilaksanakan dalam strategi membasmi kemiskinan. Kerajaan telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua kaum tanpa terikat lagi dengan dasar ekonomi pecah dan perintah penjajah. Maknanya, kaum Melayu diberi peluang luas menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan bidang-bidang lain yang sebelum ini kaum Melayu amat terikat dengan kegiatan pertanian sara diri di luar bandar. Begitu juga dengan kaum lain seperti Cina dan India turut diberi peluang mencebur diri dalam bidang ekonomi lain seperti bidang perkhidmatan dan perindustrian.
Di samping itu, kerajaan juga telah mengalakkan penyertaan semua kaum dalam sektor-sektor yang berpotensi tinggi dan daya pengeluaran yang tinggi seperti perniagaan, perindustrian dan juga perkhidmatan.
[iv]   Hal ini bertujuan agar rakyat Malaysia yang mempunyai modal yang besar digalakkan menceburkan diri dalam bidang berpotensi tinggi sekaligus membantu pembangunan ekonomi negara dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua kaum.Strategi lain yang dilaksanakan dalam strategi membasmi kemiskinan ialah memajukan lagi daya pengeluaran golongan miskin yang seterusnya dapat meningkatkan pendapatan penduduk. Antara langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan ialah menambahkan peluang untuk menukarkan kegiatan yang mempunyai daya pengeluaran yang rendah kepada yang tinggi seperti rancangan tanah FELDA, FELCRA, projek perikanan dan ternakan moden; kegiatan perniagaan, pembuatan dan perkhidmatan moden; kemudahan bantuan kewangan dan teknik; serta peluang pendidikan dan latihan.Kerajaan juga berusaha menambahkan daya pengeluaran dan pendapatan melalui teknik moden dan kemudahan-kemudahan yang lebih baik, dengan program-program tanaman padi dua kali setahun; tanaman padi luar musim; kemudahan parit dan tali air; kemudahan pasaran dan kredit demi membantu golongan bumiputera di kawasan luar bandar

Penempatan FELDA, sama ada unit perkampungan tunggal atau bandar, adalah komuniti yang sengaja dibina atau dirancang di kawasan desa untuk mencapai matlamat-matlamat sosio-ekonomi negara. Sebagai komuniti baru sudah tentu ia mempunyai ciri-ciri yang istimewa kerana ia dirancang berdasarkan konsep perancangan moden dan polisi-polisi yang dibentuk khusus untuk membawa perubahan sosial, ekonomi dan fizikal kepada masyarakat desa. Petempatan FELDA adalah komuniti yang pertama yang dirancangkan secara menyeluruh di kawasan desa dan pembukaan tanah baru di luar bandar.